Herba kesuburan
Published bySATU masa dulu, ramai lelaki jahil mengenai isu kesuburan mereka. Bagi mereka, asalkan boleh bersetubuh, itu petanda mereka subur.
Ada juga yang berkahwin lagi dengan alasan isteri tidak boleh hamil, sedangkan diri sendiri sebenarnya mandul, bukan isteri.
Namun, perkembangan pengetahuan dan sikap keterbukaan masyarakat menjadikan lelaki lebih peka terhadap kesuburan mereka dan mengambil tahu jika mengalami masalah sperma atau tidak dapat menghamilkan isteri.
Masalah kesuburan yang berpunca daripada lelaki ialah kegagalan melakukan seks penetratif dan kemampuan ejakulasi. Tanpa ejakulasi, air mani tidak dapat masuk ke dalam faraj dan sperma tidak dapat bertemu telur.
Jika ada ejakulasi, faktor yang perlu diambil kira ialah air mani mengandungi sperma, bilangan sperma mencukupi dan sperma aktif serta berbentuk normal.
Jika lelaki itu mempunyai bilangan sperma yang kurang, ini petanda masalah kepada kilang spermanya. Yang perlu dilakukan ialah pemeriksaan buah zakar dan mengukurnya dengan alat pengukur Orkodometer untuk menyukat isi padu buah zakar kerana jika saiz kurang daripada 10 mililiter, kemungkinan kilang tidak aktif.
Selain itu, pemeriksaan teliti perlu dilakukan untuk mengenal pasti jika salur ven berpintal atau varikosel yang boleh menyebabkan kilang terdedah kepada kepanasan dan bahan toksik akibat kemendapan darah.
Rawatannya ialah dengan mengikat salur ven yang berpintal. Jika isi padu buah zakar normal, ujian susulan, termasuk ujian hormon kesuburan, perlu dilakukan.
Jika hormon kesuburan rendah atau rendah tapi dalam lingkungan normal, ubat penyubur boleh diberi dan tiga bulan kemudian ujian air mani diulangi untuk mengenal pasti keberkesanan rawatan dengan ubat penyubur.
Selain ubat penyubur, rawatan alternatif dengan herba tertentu boleh dicuba jika didapati tiada sebab kenapa sperma kurang dan kualiti sperma tidak sempurna.
Di pasaran, beberapa herba pernah dikaji dan herba ini perlu dimakan untuk beberapa bulan (kira-kira tiga hingga enam bulan) sebelum ujian air mani diulangi.
Herba yang dimaksudkan ialah Aswaganda (Spemen Forte dari Himalaya Drug), Tribulus (Tribestan dari Summit Co) dan Eurycoma longifolia jack (Nu-Prep/ Phyto-Andro/ Beiklin Tongkat Ali dari PHYTES).
Semua herba itu boleh dibeli dari farmasi, bukan daripada jualan langsung, kerana harganya lebih terkawal.
Saya ada pengalaman dengan Tribestan dan Tongkat Ali dan mendapati 30 hingga 40 peratus pemulihan, manakala dengan Aswanganda, saya dapati kurang 10 peratus pemulihan.
Jika hendak mencuba herba itu, pastikan anda sudah menjalani pemeriksaan kesuburan untuk lelaki secara teliti.

leave your comment