Belum dapat anak setelah kahwin empat tahun

Number of View: 455

BELUM DAPAT ANAK

Soalan

SAYA mendirikan rumah tangga empat tahun lalu. Sehingga kini saya belum ada zuriat. Bentuk fizikal saya besar, tetapi suami normal. Saya membuat pemeriksaan dengan klinik kesihatan dan doktor mengesahkan saya normal.

Cuma haid saya tidak teratur. Sejak saya pendarahan selepas makan ubat hormon dan memakan ubat untuk menghentikan pendarahan itu, haid terus tidak keluar hampir tiga bulan.

Saya hampir mengambil anak angkat, tetapi risau berikutan ayah saya tidak bersetuju. Apa patut saya lakukan doktor? Adakah teknik hubungan kelamin saya tidak betul?

FAZLIN
Putrajaya

Jawapan

Bagi mana-mana pasangan berkahwin dan inginkan cahaya mata, mereka perlu merancang untuk mendapatnya dan jika tiada tanda kehamilan dalam setahun atau sekurang-kurangnya enam bulan (bagi wanita berusia melebihi 30 tahun), mereka berdua perlu berjumpa doktor untuk mendapat nasihat, bimbingan dan rawatan sewajarnya.

Mungkin untuk permulaan mereka boleh jumpa doktor keluarga. Biasanya doktor keluarga melakukan pemeriksaan awal untuk mengenal pasti masalah kesihatan yang boleh mengugat kesuburan.

Pemeriksaan ini termasuk ujian air mani untuk suami dan pemeriksaan ujian tahap hormon kesuburan untuk isteri.

Jika itu normal, pemeriksaan susulan termasuk ujian HSG atau x-ray rahim dan salur rahim isteri untuk mengenal pasti kedudukan rahim dan salur rahim. Jika ada masalah tertentu, mereka dirujuk kepada pakar berkaitan.

Misalnya, jika suami ada masalah sperma, mungkin dia perlu dirujuk kepada pakar sakit tuan atau pakar Andrologi. Jika isteri ada masalah, mungkin dia perlu dirujuk kepada pakar sakit puan yang mahir dalam pengurusan kesuburan wanita.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...